Penyakit Jantung – Adakah ia menghampiri anda?

Apakah itu Penyakit Jantung?

Penyakit jantung, atau penyakit kardiovaskular, adalah penyakit yang menjejaskan jantung dan sistem peredaran darah anda. Penyakit jantung koronari iaitu penyempitan saluran darah yang disebabkan oleh plak adalah antara pembunuh utama bukan sahaja di Malaysia malah juga di peringkat antarabangsa.[1,2] Apabila aliran darah ke jantung berkurangan, peluang untuk mendapat serangan jantung juga akan meningkat. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung iaitu:[3,4]

Penyakit Jantung Koronari – Penyempitan saluran darah yang disebabkan oleh plak yang boleh menyebabkan peningkatan risiko serangan jantung.

Aritmia – Degupan jantung tidak teratur atau tidak sekata. Jika dibiarkan dan tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko strok.

Penyakit Jantung Kongenital – Sering dilihat pada bayi atau kanak-kanak, disebabkan oleh kecacatan kelahiran yang menjejaskan cara jantung berfungsi secara normal.

Kegagalan Jantung – Berlaku apabila jantung tidak dapat mengepam darah dengan berkesan ke seluruh bahagian badan.

Penyakit Injap Jantung – Injap dalam jantung memastikan darah mengalir ke bahagian yang betul. Jika injap tidak dapat ditutup dengan betul, ia boleh menyebabkan aliran balik darah yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.

Gejala Penyakit Jantung

Penyakit jantung yang berbeza akan mempunyai gejala yang berbeza. Gejala penyakit jantung yang paling biasa ialah:[5]

– Sakit dada

– Sesak nafas

– Jantung berdebar

– Keletihan

– Kebas atau Lemah anggota badan (terutamanya bahagian sebelah kiri).

– Sakit di rahang, leher, bahagian atas abdomen, atau belakang.

Punca Penyakit Jantung

Walaupun beberapa Penyakit Jantung dihidap sejak lahir tidak dapat dielakkan, terdapat juga tabiat dan tindakan tertentu yang meningkatkan peluang seseorang untuk mendapat Penyakit Jantung, seperti:[6]

Merokok – Penggunaan tembakau menyumbang kepada 20% kematian akibat penyakit jantung koronari. Merokok boleh menurunkan HDL (kolesterol baik) dalam badan anda, menjadikan darah melekit dan berkemungkinan besar untuk membeku, merosakkan saluran darah, meningkatkan pembentukan plak, dan menebalkan saluran darah.

Makanan tinggi lemak – Pengambilan lemak yang terlalu tinggi meningkatkan pengumpulan lemak dalam darah anda yang membawa kepada peningkatan pembentukan plak, sekaligus meningkatkan risiko serangan jantung.

Diabetes – Gula yang berlebihan dalam darah boleh menghasilkan bahan yang boleh merosakkan saluran darah, menyebabkan peningkatan pembentukan plak yang menghalang saluran darah.

Tekanan Darah Tinggi – Ia adalah kondisi perubatan di mana tekanan darah dalam saluran darah terlalu tinggi. Ini boleh mencederakan dinding saluran, yang menyebabkan kerosakan selanjutnya pada jantung anda.

Berat badan berlebihan/Obesiti – Pengumpulan kolesterol jahat dalam arteri boleh menyebabkan peningkatan pembentukan plak, menyekat atau mengehadkan aliran darah.

Ketidakaktifan – Ketidakaktifan membawa kepada peningkatan risiko penambahan berat badan, sekaligus meningkatkan risiko penyakit jantung.

Anda hanya mempunyai sebuah jantung! Jadi, lindungilah ia  walau dengan apa cara sekalipun!

Memahami risiko dan gejala penyakit jantung boleh membantu anda mengenal pasti masalah dengan lebih awal dan mengelakkannya daripada menjadi lebih serius.

References:

  1. Statistics on cause of death, Department of Statistics Malaysia Official Portal, 2021
  2. The top 10 causes of death, WHO, 2020
  3. Coronary heart disease, NHS UK
  4. Disease control priorities in developing countries, 2nd edition.
  5. Cardiovascular Diseases, WHO 
  6. Know your risk for heart disease, Centers for Diseases Control and Prevention.