Kesihatan Jantung, Hapuskan Mitos!

Jantung adalah organ utama yang mengepam darah ke seluruh badan anda. Saiznya lebih kurang sama dengan dua penumbuk tangan yang digenggam. Fungsi utama jantung adalah untuk menghantar darah beroksigen ke setiap bahagian tubuh anda, yang memastikan kelangsungan hidup anda. Setiap hari, jantung kita berdegup sekitar 100,000 kali. Oleh itu, kesihatan  jantung adalah sangat penting untuk kita.[1] Terdapat pelbagai mitos yang berkaitan dengan jantung anda.

  1. Selagi saya masih muda, saya tidak perlu risau tentang serangan jantung
    Kita biasanya mengaitkan serangan jantung dengan usia tua, dan berpendapat bahawa kita tidak perlu menjaga kesihatan jantung semasa masih muda. Walau bagaimanapun, kajian terbaru menunjukkan bahawa mereka yang menghidap penyakit jantung berusia semakin muda. Orang yang berumur 40-an, 30-an, malah 20-an pada masa kini juga mempunyai peningkatan risiko mendapat penyakit jantung.[2] Oleh itu, adalah penting untuk menjaga kesihatan jantung anda, tidak kira berapa usia anda.
  2. Saya tidak boleh mencegah masalah jantung jika saya mempunyai sejarah keluarga
    Sesungguhnya, adalah mustahil untuk mengubah sejarah keluarga anda. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mengurangkan risiko serangan jantung dengan mengekalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang sihat.[3]
  3. Degupan jantung yang tidak teratur adalah tidak berbahaya
    Ramai daripada kita berpendapat bahawa tidak mengapa jika jantung kita berdegup terlalu laju, terlalu perlahan atau dengan rentak degupan jantung yang tidak sekata. Walaupun sedikit ketidakteraturan tidak berbahaya, kadar denyutan yang tidak normal berpotensi menjadi sesuatu yang membawa maut..[4] Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa dengan doktor anda dan memberi perhatian kepada sebarang gejala.
  4. Jika saya menghidap penyakit jantung, saya sepatutnya tidak banyak bergerak
    Apabila kita disahkan menghidap penyakit jantung, ramai di antara kita berfikir bahawa senaman boleh memberi tekanan kepada jantung kita dan oleh itu kita tidak sepatutnya banyak bergerak. Walau bagaimanapun, terbukti bahawa bersenam sebenarnya boleh meningkatkan kesihatan jantung seseorang secara keseluruhan dan boleh membantu dalam pengurangan serangan jantung.[3]
  5. Jika saya telah merokok selama bertahun-tahun, berhenti merokok tidak dapat mengurangkan risiko penyakit jantung
    Faedah berhenti merokok bermula sebaik sahaja anda berhenti, tidak kira berapa usia anda. Hanya dalam tiga tahun selepas anda berhenti merokok, kadar kelangsungan hidup anda daripada penyakit jantung berkemungkinan untuk menjadi sama seperti anda tidak pernah merokok langsung.[5]

    Jantung melakukan tugas penting dalam memastikan tubuh badan anda berfungsi dengan baik. Ia mengepam darah untuk menyuburkan organ dan tisu dalam badan anda sambil mengeluarkan bahan buangan. Justeru kita hendaklah menjaga kesihatan jantung kita seawal usia, agar kita dapat menjalani kehidupan yang sihat dengan jantung yang sihat.

Rujukan

  1. How the Heart Works & Pumps Blood Through The Human Body [Internet]. WebMD. 2022 [cited 23 August 2022]. Available from: https://www.webmd.com/heart-disease/guide/how-heart-worksCDC, Centers for Disease Control and Prevention. 2022. Heart Disease: It Can Happen at Any Age. [online] Available at: <https://www.cdc.gov/heartdisease/any_age.htm> [Accessed 23 August 2022].
  2. Heart Disease: It Can Happen at Any Age [Internet]. CDC, Centers for Disease Control and Prevention. 2022 [cited 23 August 2022]. Available from: https://www.cdc.gov/heartdisease/any_age.htm
  3. 8 Things You Can Do to Prevent Heart Disease and Stroke [Internet]. www.heart.org. 2022 [cited 23 August 2022]. Available from: https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-lifestyle/prevent-heart-disease-and-stroke
  4. Heart arrhythmia – Symptoms and causes [Internet]. Mayo Clinic. 2022 [cited 23 August 2022]. Available from: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-arrhythmia/symptoms-causes/syc-20350668#:~:text=A%20heart%20arrhythmia%20(uh%2DRITH,slow%20(bradycardia)%20or%20irregularly.
  5. Smoking and Cardiovascular Disease [Internet]. Hopkinsmedicine.org. 2022 [cited 23 August 2022]. Available from: https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/smoking-and-cardiovascular-disease#:~:text=According%20to%20the%20AHA%2C%20stopping,many%20contributors%20to%20heart%20attack.