Penglihatan adalah salah satu deria yang penting kerana ia membantu kita dalam perkara seperti keselamatan, penunjuk arah dan berkomunikasi. Dengan melindungi mata sejak awal lagi, kita dapat mengurangkan kebarangkalian untuk mengalami kemerosotan penglihatan, penglihatan yang kabur dan juga penyakit mata. Jadi apakah langkah-langkah yang boleh kita ambil bagi menjaga sepasang mata yang sihat?
1. BE Konsisten Dengan Pemeriksaan Kesihatan Mata
Kebanyakkan daripada kita menangguhkan pemeriksaan kesihatan mata kerana menyangka bahawa kita mempunyai “penglihatan yang baik”, akan tetapi penglihatan yang baik tidak bermakna kita mempunyai kesihatan mata yang sihat. Kebanyakkan penyakit mata tidak mempunyai sebarang gejala awal sehingga pemeriksaan dilakukan. Pemeriksaan kesihatan mata di peringkat awal adalah baik kerana mudah untuk dirawat. Oleh yang demikian, adalah disyorkan untuk orang dewasa menjalani pemeriksaan mata yang komprehensif sekali setiap 2 hingga 3 tahun.[1]
2. BElajar Mengetahui Sejarah Kesihatan Keluarga Anda
Sejarah kesihatan keluarga ialah sebuah rekod maklumat kesihatan keluarga anda. Dengan mengetahui sejarah kesihatan keluarga dapat membantu dalam mengenalpasti tahap kerentanan kepada penyakit atau keadaan mata anda. Seperti yang dinyatakan di atas, kebanyakan penyakit mata tidak mempunyai sebarang gejala penyakit sehingga peringkat terakhir, oleh itu dengan mempelajari sejarah kesihatan keluarga anda dapat membantu dalam mengenalpasti atau mencegah potensi kepada masalah penglihatan.[2]
3. BErjaga-jaga dengan Masa Skrin Anda
Dengan kemajuan alatan elektronik, kita banyak menghabiskan masa pada skrin untuk perkara seperti pekerjaan, pendidikan, bersosial dan hiburan. Dalam kita menghabiskan lebih banyak masa pada skrin, mata kita mungkin mengalami lebih banyak kerosakan akibat cahaya biru . Oleh yang demikian, ianya sangat penting untuk berjaga-jaga dengan masa skrin anda. Anda boleh lakukan peraturan 20-20-20, di mana untuk setiap 20 minit masa skrin, alihkan penglihatan mata kepada sesuatu yang berada sejauh 20 kaki selama 20 saat.[3]
4. BE Sihat dengan Pemakanan yang Optimum
Menurut American Optometric Association vitamin, antioksidan dan mineral dapat membantu meningkatkan penglihatan dan menjaga kesihatan mata anda. Banyak penyelidikan telah mengaitkan nutrien seperti lutein, zeaxantin, dan antosianin dengan pemeliharaan kesihatan mata secara menyeluruh. Oleh itu, adalah penting untuk pengambilan makanan yang kaya dengan nutrien dan antioksidan untuk kesihatan mata yang lebih baik.[4]
Penjagaan kesihatan mata sering diabaikan akan tetapi ia memberi makna yang banyak terhadap kualiti hidup kita pada masa kini dan pada masa hadapan. Oleh itu, penting untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera, bagi memelihara penglihatan anda.
Rujukan
- Primary Health Care: Open Access, 2012
- BMC Opthalmology, 2017
- Optometry Time, 2018
Nutrients, 2019